PEPERIKSAAN AKHIR HAYAT

11:10 Sunday 19 June 2011


Dahulu melangkah ke dewan peperiksaan
penuh debaran yang dirasakan
menanti soalan yang menuntut jawapan
mengukur kemampuan dalam pembelajaran

Bagi yang telah mengulangkaji dan menelaah
kelihatan tenang tidak gelisah
jika cemerlang masa depan cerah
terbayar segala penat dan lelah

Kini melangkah ke alam kehidupan
timbul pula pelbagai persoalan
tentang peranan seorang insan
dijadikan khalifah di bumi Tuhan

Bagi yang mahu mengambil peringatan
Al-Quran dan Sunnah menjadi rujukan
supaya tidak tersalah pilihan
dalam memberi sebarang jawapan

Kelak melangkah ke hari perhisaban
tibalah masa menghadap Tuhan
setiap tindakan menjadi persoalan
baik dan buruk menjadi timbangan

Hari yang diadakan sebagai pengukur
yang mana beriman dan yang mana kufur
supaya di dunia tidak takbur
berbuat dosa tanpa ditegur

Yang beriman wajah bercahaya
segala jawapan tersemat di dada
dahulu di dunia mereka membaca
Kalimah Tuhan tidak dipersia

Yang kufur bermuram durja
tiada jawapan dapat dikemuka
dahulu di dunia mereka lupa
tujuan asal mereka dicipta

Selesai dihisab keluarlah keputusan
yang bakal merendah dan meninggikan
masing-masing ada buku laporan
segalanya tercatat tiada yang ditinggalkan

Yang ditinggikan mendapat bahagia
di dalam Syurga kekal selamanya
terbayar sudah segala usaha
Rahmat dari Tuhan yang Esa

Yang direndahkan mendapat celaka
api neraka yang bernyala-nyala
kerana dahulu mereka alpa
tidak bersedia dari muda

Gagal periksa boleh diulang
di paper julai yang akan datang
gagal beriman teramatlah malang
sesudah mati dah takde peluang

Pandang ke kiri pandang ke kanan
dunia penuh dengan kejelekkan
hawa nafsu didahulukan
kepentingan peribadi diutamakan

Apalah guna punya ilmu yang tinggi
jika hanya mementingkan duniawi
ilmu Akhirat tidak dicari
walhal disanalah kehidupan yang hakiki...

Iz

0 comments:

Post a Comment